Lelaki Perlu Prihatin
Sejak sekian lama, tumpuan terhadap perancangan keluarga dan langkah membina kesihatan reproduktif telah ‘dibebankan’ kepada wanita.
Masyarakat kita secara keseluruhannya sering menggalakkan wanita bertanggungjawab mengenainya, sedangkan lelaki juga membentuk separuh daripada proses tersebut.
‘Ah! Biarlah, cerita sulit orang perempuan, buat apa nak ambil tahu!’
Mungkin itu yang bermain di fikiran ramai para suami yang tidak menyedari bahawa dalam hal kesihatan reproduksi dan perancangan keluarga, mereka mempunyai peranan yang sama besar dengan wanita.
Konsultan Obstetrik dan Ginekologi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr. Harlina Halizah Siraj, menjelaskan, kawalan kehamilan boleh memperbaiki tahap kesihatan wanita, kualiti hidupnya dan mengurangkan tekanan emosi dan fizikal.
![]() |
|
DR. HARLINA HALIZAH
|
Pada masa yang sama, perancangan keluarga juga menyebelahi nasib anak-anak kerana mereka mendapat lebih banyak peluang hidup seperti sokongan keibubapaan.
“Selang usia antara anak-anak sangat penting kerana ini membolehkan keluarga menguruskan soal kewangan dan perhatian terhadap perkembangan anak boleh diberi dalam tempoh lebih panjang,” jelas Harlina yang menegaskan tahun-tahun selang antara kehamilan membolehkan wanita mempunyai lebih masa untuk aktiviti dan perkembangan diri.
Lelaki perlu memahami konsep perancangan keluarga termasuk mengenal pasti kaedah kontraseptif paling sesuai yang bakal digunakan.
Tidak dinafikan, ramai wanita di negara ini khuatir tentang sikap lelaki yang cuba mengelak daripada berbincang tentang isu tersebut.
![]() |
|
|
Kepentingan merancang keluarga sebenarnya memberi kebebasan kepada pasangan dalam menentukan jumlah anak yang diinginkan.
Pasangan berupaya mengurangkan beban emosi dan kewangan dan meningkatkan peluang menyediakan pendidikan dan sara keluarga.
“Lebih penting, hubungan antara suami dan isteri menjadi lebih erat kerana mempunyai lebih banyak masa untuk memberi perhatian antara satu sama lain,” kata Harlina.
Ya, suami mana yang tidak gembira kalau waktu kualiti untuk diluangkan bersama isteri tidak lagi dibatasi proses kehamilan setiap tahun, pantang selepas bersalin, serta perhatian isteri yang sudah terbahagi kepada si kecil yang baru dilahirkan.
Banyak komplikasi yang timbul kalau pasangan yang sudah bertahun-tahun melayari alam rumah tangga masih meremehkan keperluan untuk ambil peduli soal penjagaan kesihatan reproduksi dan pengawalan kehamilan.
![]() |
|
KES pembuangan bayi berlaku kerana tidak memahami konsep pencegahan kehamilan dan perancangan keluarga.
|
Lebih membimbangkan, bayangkan pula senario seterusnya – generasi muda hari ini yang hanya tahu berseronok apabila mencuba nikmat perhubungan fizikal.
“Kita sering dikejutkan dengan laporan berita seperti kehamilan luar perkahwinan, pengguguran kandungan tanpa sebab, pembuangan bayi dan anak-anak yang diabaikan,” ujar Harlina kesal.
Berdasarkan kes-kes sedemikian, jelaslah bahawa sebarang penilaian dan tindakan wanita dalam kebanyakannya dipengaruhi sikap lelaki.
Perilaku seksual lelaki memberi kesan kepada wanita dan akhirnya masing-masing tidak tahu untuk bertanggungjawab terhadap kehamilan yang tidak dirancang.
Itu belum lagi menyentuh soal risiko jangkitan penyakit kelamin dan kanser salur reproduktif. Akhirnya, ia menjejaskan kesihatan lelaki, wanita dan anak yang bakal dilahirkan.
Harlina mengingatkan, konsep merancang keluarga bukan menolak ketentuan Tuhan yang mengurniakan zuriat kepada pasangan.
Ia juga bukan bermakna pasangan tersebut tidak mahukan anak.
“Sebaliknya, pasangan tersebut mahu menghasilkan zuriat sihat dengan mengambil kira tahap kemampuan emosi dan fizikal, hasrat bilangan anak dan selang usia yang ideal,” katanya.
Tambah Harlina, para profesional penjagaan kesihatan kini giat menjalankan program untuk melibatkan lelaki secara langsung dalam hal berkaitan kesihatan keluarga.
Peranan membina dalam hal perancangan keluarga sepatutnya menjadi agenda penting bagi semua lelaki, sama penting dengan usaha keras mencari nafkah ataupun mempertahankan ciri maskulin yang ada dalam diri mereka.
Maka, lelaki, betulkan semula anggapan bahawa hal yang berkaitan dengan perancangan keluarga adalah urusan mutlak wanita.
Jangan pula mendabik dada mengatakan anda suami contoh kalau sering tidak menemani isteri dalam sesi bertemu doktor sakit puan atau perunding kesihatan.
PILIHAN KAEDAH KONTRASEPTIF
Kaedah hormon:
- Pil kontraseptif oral (OCP): Dua jenis iaitu pil kombinasi dua hormon wanita (estrogen dan progestin) atau mengandungi progestin sahaja. Ia membuatkan tubuh ‘menyangka’ bahawa proses hamil sedang berlaku lalu menghalang ovulasi.
- Sistem intra uterus (IUS): Alat kecil mengandungi hormon progestin yang memekatkan mukus di servik dan lalu membentuk sumbatan mukus bagi menghalang sperma memasuki uterus dan bersenyawa dengan ovum.
- Implan: Rod plastik bersaiz batang mancis yang mengandungi progestin ‘ditanam’ di bawah kulit di bahagian lengan atas.
- Suntikan: Doktor atau jururawat akan menyuntik pada lengan atas, punggung dan paha dan diulang semula selepas 10 atau 13 minggu untuk mengekalkan kesan kontraseptif.
- Tampalan kontraseptif: Pelekat kecil seperti plaster yang melepaskan estrogen dan progestin ke salur darah dari kulit.
- Pil kontraseptif kecemasan (ECP): Dos OCP yang tinggi untuk mencegah hamil, namun hanya boleh digunakan untuk kes-kes tertentu dan atas kebenaran doktor.
Kaedah Menghalang:
- Kondom: Sarung getah yang dipakai pada zakar yang tegang sebagai halangan fizikal bagi sperma. Kondom untuk wanita juga menawarkan fungsi yang sama walau cara pemakaiannnya berbeza.
- Alat kontraseptif intra uterin (IUCD): Alat fleksibel daripada plastik dan terdapat benang polietilena di bahagian bawahnya. Alat yang menutup uterus ini disertai wayar tembaga yang boleh mengubah tindak balas kimia uterus bagi menghalang sperma menyuburkan ovum.
- Spermisid: Hadir dalam pelbagai formula seperti buih, jeli atau kepingan filem, bahan kimia Nonoxynol-9 yang membunuh sperma itu dimasukkan ke faraj menggunakan alat khas.
Kaedah lain:
- Interruptus koitus: Lelaki menarik keluar zakar dari faraj sebelum memancutkan mani. Kaedah ini tidak boleh dipercayai kerana wanita memperjudikan nasib dan berharap penuh pada disiplin pasangan.
- Kaedah ritma kesuburan: Mengelakkan hubungan seks sepanjang tempoh kesuburan wanita, kaedah ini adalah berdasarkan congakan kitaran haid semata-mata dan tidak boleh dipercayai.
Popularity: 5% [?]




















Leave a Comment