Ibu bapa lepas tangan
APABILA berbicara mengenai kejayaan anak, saya percaya semua ibu bapa mahukan yang terbaik, begitu juga guru. Namun, selalunya tidak semua yang diingini itu tercapai, bukan kerana kesalahan anak sebagai pelajar semata-mata tetapi kerana sikap lepas tangan.
Saya tidak kata semua ibu bapa mempunyai sikap tidak mengendahkan anak, namun sebahagian besarnya memang begitu. Dengan pelbagai alasan, paling sinonim… sibuk dan penat bekerja, anak yang memerlukan perhatian terabai.
Saya faham, ibu bapa penat bekerja mencari rezeki untuk anak tapi pada masa sama, berilah tumpuan pada pembelajaran anak kerana mereka juga memerlukan seseorang untuk mengambil berat mengenai apa yang berlaku di sekolah.
Sebagai anak, mereka mempunyai rasa untuk berkongsi sesuatu dengan orang paling dekat dan dalam hal ini, sudah tentu ibu bapa adalah tempat terbaik.
Malangnya, sebahagian ibu bapa sukar memperuntukkan masa dengan anak menjadikan bukan saja hubungan semakin jauh dan ada kalanya anak mengambil senario itu mencipta pelbagai alasan sekiranya gagal dalam pelajaran.
Senario itu sekiranya tidak dirawat akan meninggalkan impak negatif besar dalam diri seorang anak. Lihat dari aspek sebagai seorang anak, dia akan menjadi pemberontak dan tidak mahu mendengar kata.
Mengapa? Kerana sebelum ini, ibu bapanya tidak mahu berbual atau mengambil kisah hingga menjadikan dia seolah-olah anak terbuang. Apabila jurang komunikasi anak-ibu bapa semakin besar, natijahnya juga buruk.
Lihat dari aspek sebagai pelajar, bagaimana mereka boleh menimbulkan masalah di sekolah. Bukan saja dari segi pencapaian akademik malah juga imej kendiri.
Sebab itu, jangan terkejut jika kebanyakan masalah disiplin ditimbulkan pelajar malah sebahagian besarnya berpunca daripada mereka yang berdepan masalah ibu bapa di rumah.
Dan, apabila ini berlaku, ibu bapa mudah menyalah dan menghukum anak sedangkan kesalahan sebenar bukanlah berpunca seratus peratus daripada anak, tetapi kerana kegagalan fungsi kekeluargaan di rumah.
Justeru, saya berharap agar ibu bapa luangkanlah seketika masa bersama anak. Memanglah bekerja itu penat, namun berbaloikah itu semua jika anak yang diamanahkan tuhan gagal dibentuk?
Isu ini sudah lama melanda kebanyakan institusi keluarga dan sebagai masyarakat prihatin, sudah banyak penyelesaian diambil namun kurang berjaya kerana sebahagian besar ibu bapa bersikap sambil lewa
Saya bukan mahu menyalahkan ibu bapa sepenuhnya namun jika diteliti secara halus, siapakah yang bertanggungjawab memikul tanggungjawab mencorakkan masa depan anak dengan ilmu paling asas?
Bukan guru atau masyarakat sekeliling tetapi ibu bapa kebanyakan alpa mengenainya dan menyerahkan kepada guru atau masyarakat.
Walaupun guru diamanahkan menjaga pelajar, keupayaan mereka terbatas dalam pelbagai aspek. Pelajar bukan anak kandung yang boleh ditegur atau dipukul sesuka hati.
Dalam hal ini, sudah tentu untuk memperbetulkan anak adalah ibu bapa kerana mereka lebih berhak malah sesiapapun tidak boleh mempertikaikan tindakan ibu bapa memukul anak jika ia dilakukan demi kebaikan.
Saya berharap, ibu bapa sedar mengenai tanggungjawab ini. Jika selama ini tidak berapa ‘kisah’ dengan keperluan anak sama ada emosi atau fizikal, masih ada masa memperbetulkan semula keadaan itu.
Yang penting adalah mengubah keadaan dan sedar tanggungjawab mendidik anak kerana mereka adalah amanah dalam meneruskan kesinambungan negara pada masa depan.
Sumber: Harian Metro
This entry was posted on Sunday, August 5th, 2007 at 10:19 pm and is filed under Tips dan Renungan. You can follow any responses to this entry through the feed. You can leave a response, or trackback from your own site.

















