Archive for 'Tips Kelahiran'
Menurut amalan orang dulu, tembuni anak yang keluar sesudah kelahiran anak tersebut akan diambil dan dibersihkan. Tembuni itu kemudian akan dimasukkan ke dalam bekas dan ditanam. Amalan ini dilakukan dengan alasan bahawa tembuni itu adalah kembar anak tersebut atau merupakan sebahagian dari anggota anak yang baru lahir itu.
Ibubapa memang berhak mengambil tembuni itu dan menanamnya, tetapi dakwaan seperti di atas adalah bertentangan dengan Islam dan kepercayaan yang khurafat. Jika ibu-bapa tidak mengambil tembuni tersebut dan menyerahkannya kepada pihak hospital, perbuatan tersebut juga tidak menyalahi ajaran Islam.
Popularity: 1% [?]
Beberapa perkara telah disyariatkan oleh Islam ketika menyambut bayi diantaranya:
Disunatkan mengucapkan tahniah
Orang-orang Islam adalah digalakkan supaya bersegera mengucapkan tahniah kepada saudaranya atau sahabat-handainya yang baharu sahaja menerima cahaya mata. Amalan ini disuruh kerana menghibur saudaranya selain itu amalan ini dapat mengeratkan silaturrahim sesama Muslim.
Sekiranya seseorang itu tidak sempat untuk mengucapkan tahniah adalah digalakkan untuk mendoakan kesahteraan kepada saudaranya dan anak yang baharu dilahirkan oleh isterinya. Antara doanya ialah:

“ Semoga Allah memberkati kurnianNya, syukurilah atas pemberian ini, penuhilah keperluannya dan rezekikanlah masa hadapannya
Kemudian apabila doa ini diucapkan maka disunatkan pula kita menyahutnya dengan ucapan

“ mudah-mudahan engkau juga diberkati Allah serta dilimpahi keberkatan ke atas engkau.
Disunatkan azan dan Iqamah
Rasulullah SAW sabdanya yang bermaksud: Sesiapa yang memperolehi
cahata mata (anak) maka hendaklah diazankan di telinga kanan dan
diiqmahkan di telinga kiri, nescaya terlepaslah darinya angin tiupan
syaitan”
Melakukan azan dan iqamah ini mempunyai hikmah tertentu, selain dari usaha untuk memohon perlindung daripada gangguan syaitan, azan juga merupakan laungan dan seruan kepada Allah, kepada agamaNya dan beribadah kepadaNya. Dengan itu jika lakukan seruan ini akan mendahului seruan syaitan. Azan juga adalah seruan kepada fitrah manusia yang asal sebelum digoda oleh syaitan yang ingin mengalih haluan kepada jalan jalan yang terkutuk dan dilaknati oleh Allah.
Melakukan Tahnik atau membelah mulut
Tahnik ini dilakukan dengan meletakkan sedikit isi tamar di atas jari
telunjuk dan dimasukkan ke dalam mulut bayi serta dengan perlahan-
perlahan digerakkan jari itu ke kanan dan kiri mulut bayi. Ini dilakukan
sehingga isi buah tamar tadi menyentuh pada keseluruhan mulut bayi
berkenaan dan tamar tersebut akan masuk ke dalam rongga tekaknya. Jika
tidak ada tamar maka boleh digantikan dengan manisan lainnya seperti gula
dan sebagainya. Adalah lebih afdhal kalau tamar itu dikuyah oleh orang
alim atau orang soleh untuk mendapatkan keberkatannya. Dalam satu hadis
diriwayatkan oleh Al-Bukhari dari Abi Musa r.a. katanya: “ Telah
dikurnikan kepadaku seorang anak, aku membawanya menemui baginda
Rasulullah s.a.w. baginda menamakannya Ibrahim, lalu baginda
mentahnikkannya dengan tamar dan mendoakan keberkatan untuknya,
kemudian baginda menyerahkan kembali anak itu kepadaku”
amalan tahnik ini adalah untuk menguatkan anggota mulut bayi supaya
lebih mampu untuk menghisap susu ibunya.
Mencukur rambut
Ini dilakukan sebaik-baiknya pada hari ketujuh kelahiranya, kemudian rambut itu ditimbang seberat emas atau perak dan disedekahkan pada fakir miskin, jika tidak mampu maka ditukarkan atas kadar wang atau sebagainya. Amalan bercukur ini mengandungi hikmah yang tertentu iaitu: dari sudut kesihatan, ia boleh menguatkan tenaga pertumbuhannya, menghilangkan selaput kulit kepala (iaitu sejenis cecair beku yang meliputi kulit kepala) dan juga dapat memberikan daya kekuatan dan ketajaman pada penglihatan mata, bau dan pendengaran. Dari sudut kemasyarakatan bercukur mengalakkan umatnya bersedekah disamping menunjukkan kesyukuran kepada Allah di atas kurniaan-Nya. Walaupun disunatkan bercukur bagi orang Islam tetapi dilarang daripada melakukan Qaza’ iatu mencukur sebahagian kepala kanak-kanak dan meninggalkan sebahagian yang lain. Larangan ini mempunyai hikmahnya yang tersendiri, ini untuk menunjukkkan sifat keadilan Allah s.w.t dan RasulNya s.a.w. di mana manusia diperintahkan supaya berlaku adil walaupun terhadap dirinya sendiri. Larangan mencukur sebahagian kepala dan meninggalkan sebahagian kepala dan meninggalkan sebahagian yang lain merupakan suatu perbuatan yang zalim kepada kepala kerana hal sedemikian menyebabkan sebahagian kepala akan ditutupi dan sebahagian yang lain terdedah tanpa rambut.
Berkhatan
berkhatan ialah memotong selaput kulit yang menutupi kepala zakar lelaki atau memotong sedikit hujung daging yang tumbuh dalam faraj perempuan. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud: “ kebersihan itu lima perkara: berkhatan, mencukur bulu ari-ari, menggunting misai, memotong kuku dan mencabut bulu ketiak” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Hukum berkhatan: terdapat perbezaan pendapat,
a) menurut Imam Abu Hanifah dan Imam Hasan al-Basri bahawa berkhatan itu sunat hukumnya.
b) Manakala menurut Imam Syafie, Imam Malik dan setengahnya yang lain mengatakan khatan hukumnya adalah wajib. Mereka mengeluarkan hukum berdasarkan kepada hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“ sesiapa yang menganut Islam, hendaklah ia berkhatan sekalipun ia dari golongan dewasa”
Manakala waktu berkhatan pula, kebanyakan ulama berpendapat bahawa berkhatan itu mula diwajibkan bilamana umur kanak-kanak hampir usia baligh. Ini kerana memudahkan bagi mereka menunaikan tanggungjawab hukum syarak yang ditetapkan ke atas mereka apabila baligh kelak. Tetapi berkhatan adalah lebih afdhal dilakukan pada hari pertama dilahirkan. Ini bersesuaian dengan hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “ Baginda Rasulullah s.a.w melaksanakan aqiqah untuk Hasan dan Husin serta mengkhatankan keduanya dalam tempuh tujuh hari ( dari hari kelahiran)”.
(Riwayat Al-Baihaqi).
Manamakan anak
Islam mengalakkan umatnya memilih nama yang baik untuk dinamakan kepada anak-anak kita sebagai tanda pengenalan dan perbezaan antara orang Islam dan Orang yang bukan Islam. Nama yang baik juga sangat mustahak kerana panggilan yang sering dipanggil adalah doa yang dapat mempergaruhi keperibadian anak tersebut.
Ditukil dari buku Panduan Menyambut Kelahiran Bayi
Oleh Ja’far Al- Mathari Bin Abdul Rahman
Jasmin Enterprise
Popularity: 2% [?]
Anak adalah merupakan sesuatu yang amat bernilai bagi setiap pasangan yang telah mendirikan rumahtangga. Ini kerana di samping menceriakan suasana rumahtangga, anak merupakan zuriat penyambung keturunan bagi sesebuah keluarga.
Biasanya, seorang isteri akan mula menunjukkan tanda-tanda sedang mengandung apabila berasa loya dan sering muntah-muntah. Pada waktu begini, isteri biasanya lebih gemarkan makanan yang masam untuk mengurangkan rasa mual seperti memakan mangga muda, mempelam mahupun asam atau jeruk. Bagi masyarakat Melayu, sebaik sahaja berita gembira tersebut diketahui, si isteri akan dijaga bagai menatang minyak yang penuh oleh suami dan ahli keluarganya yang lain, tambahan pula jika anak yang dikandung adalah anak sulung atau dipanggil bunting sulung. Pada waktu begini, si isteri biasanya akan mengalami perasaan pelik-pelik seperti mengidam. Mengidam ialah keadaan di mana seseorang terlalu berkeinginan untuk melakukan sesuatu atau makan sesuatu yang biasanya tidak pernah diminta sebelum ini. Permintaan isteri tersebut adalah perlu ditunaikan oleh suami walau apa jua rintangan dan halangan yang harus ditempuhi. Ini kerana dalam adat dan kepercayaan Melayu, sesuatu yang buruk akan menimpa ibu dan anaknya jika apa yang diidamkan tidak dapat dipenuhi.
Selain itu, kedua-dua suami isteri haruslah menjaga adab dan kelakuan mereka sepanjang tempoh isterinya mengandung. Ini adalah kerana dalam kepercayaan Melayu, wujud keadaan mengenan atau kecacatan kepada sifat fizikal bayi sekiranya salah seorang dari ibu bapanya melakukan penganiayaan terhadap haiwan atau sebagainya. Fenomena sumbing dikatakan salah satu contoh keadaan yang akan menimpa bayi sekiranya si suami pergi memancing ikan ketika isterinya sedang mengandung. Mulut bayi akan kelihatan seperti tertarik ke atas seolah-olah mulut ikan yang telah tersangkut pada pancing. Keadaan-keadaan lain yang turut dapat dijadikan contoh adalah seperti kulit yang bersisik seperti ular ataupun keadaan rupa paras yang seakan-akan rupa monyet.
Bukan itu sahaja, pasangan yang bakal menimang cahayamata juga dinasihatkan supaya sentiasa mengamalkan bacaan surah-surah yang terpilih dari Al-Quran, misalnya Surah Yusof dan Surah Muhammad. Surah Yusof diamalkan untuk memperolehi anak yang elok rupa parasnya dan Surah Muhammad diamalkan dengan harapan anak yang bakal lahir akan cerdik dan pandai serta mempunyai sifat terpuji.
Mengikut adat dan kepercayaan Melayu, barang-barang persiapan untuk menyambut kelahiran bayi seperti peralatan bayi, buaian, mandian dan pakaiannya tidak boleh disediakan selagi kandungan ibu belum mencukupi lima bulan. Ini kerana dikhuatiri sesuatu yang buruk akan menimpa bayi tersebut, seperti keguguran ataupun mengikut kepercayaan akan dicuri Orang Bunian.
Selain itu, perlakuan si ibu sepanjang tempoh mengandung akan turut mempengaruhi bayi apabila lahir kelak. Maka, orang tua-tua berpendapat bahawa ketika mengandung, si ibu perlulah sentiasa bermanis muka dan ringan tangan supaya anak yang bakal dilahirkan akan bersifat sedemikian setelah lahir.
Setelah genap sembilan bulan, kelahiran bayi akan disambut dalam suasana yang penuh kesyukuran dan kegembiraan oleh seisi keluarga. Selepas dibersihkan oleh bidan, sekiranya bayi tersebut lelaki, si bapa atau datuknya akan mengazankan di telinga kanannya, manakala bagi anak perempuan akan diiqamatkan di telinga kirinya. Ini adalah ritual yang pertama sekali dilakukan ketika menyambut kehadiran satu lagi insan di dalam dunia ini yang dilahirkan dalam adat Melayu. Kemudian, tali pusat akan dipotong bagi memisahkannya dari alam yang gelap di perut ibu ke alam baru yang menantinya. Menurut sesetengah kepercayaan, bayi dikatakan menangis ketika dilahirkan kerana terkejut melihat keadaan alam yang penuh dosa. Ada pula yang mengatakan bayi tersebut ditakut-takutkan oleh hantu syaitan, dan tidak kurang juga ada yang mengatakan bayi tersebut menangis kerana takut dengan beban yang bakal dipikulnya dalam kehidupan kelak.
Setelah selesai dimandikan, si bapa akan berperanan menanam uri bayi seperti upacara pengkebumian jenazah. Ini kerana uri dianggap sebagai saudara kembar dan teman bayi sewaktu di dalam perut ibu. Ia perlu ditanam dengan sempurna supaya tidak datang mengganggu bayi. Di antara pantang larang menanam uri ialah uri tidak boleh ditanam di luar rumah kerana dipercayai anak tersebut apabila dewasa akan sukar dikawal perlakuannya. Ini juga bagi mengelakkan berlakunya penyalahgunaan oleh pihak tertentu yang ingin menjalankan upacara perbomohan atau pemujaan.
Kesemua adat dan upacara menerima kehadiran orang baru ini termasuk dalam salah satu jenis ritual iaitu dinamakan Rites of Initiation.
Popularity: 2% [?]