Archive for 'Tips Kahwin'
Anak adalah merupakan sesuatu yang amat bernilai bagi setiap pasangan yang telah mendirikan rumahtangga. Ini kerana di samping menceriakan suasana rumahtangga, anak merupakan zuriat penyambung keturunan bagi sesebuah keluarga.
Biasanya, seorang isteri akan mula menunjukkan tanda-tanda sedang mengandung apabila berasa loya dan sering muntah-muntah. Pada waktu begini, isteri biasanya lebih gemarkan makanan yang masam untuk mengurangkan rasa mual seperti memakan mangga muda, mempelam mahupun asam atau jeruk. Bagi masyarakat Melayu, sebaik sahaja berita gembira tersebut diketahui, si isteri akan dijaga bagai menatang minyak yang penuh oleh suami dan ahli keluarganya yang lain, tambahan pula jika anak yang dikandung adalah anak sulung atau dipanggil bunting sulung. Pada waktu begini, si isteri biasanya akan mengalami perasaan pelik-pelik seperti mengidam. Mengidam ialah keadaan di mana seseorang terlalu berkeinginan untuk melakukan sesuatu atau makan sesuatu yang biasanya tidak pernah diminta sebelum ini. Permintaan isteri tersebut adalah perlu ditunaikan oleh suami walau apa jua rintangan dan halangan yang harus ditempuhi. Ini kerana dalam adat dan kepercayaan Melayu, sesuatu yang buruk akan menimpa ibu dan anaknya jika apa yang diidamkan tidak dapat dipenuhi.
Selain itu, kedua-dua suami isteri haruslah menjaga adab dan kelakuan mereka sepanjang tempoh isterinya mengandung. Ini adalah kerana dalam kepercayaan Melayu, wujud keadaan mengenan atau kecacatan kepada sifat fizikal bayi sekiranya salah seorang dari ibu bapanya melakukan penganiayaan terhadap haiwan atau sebagainya. Fenomena sumbing dikatakan salah satu contoh keadaan yang akan menimpa bayi sekiranya si suami pergi memancing ikan ketika isterinya sedang mengandung. Mulut bayi akan kelihatan seperti tertarik ke atas seolah-olah mulut ikan yang telah tersangkut pada pancing. Keadaan-keadaan lain yang turut dapat dijadikan contoh adalah seperti kulit yang bersisik seperti ular ataupun keadaan rupa paras yang seakan-akan rupa monyet.
Bukan itu sahaja, pasangan yang bakal menimang cahayamata juga dinasihatkan supaya sentiasa mengamalkan bacaan surah-surah yang terpilih dari Al-Quran, misalnya Surah Yusof dan Surah Muhammad. Surah Yusof diamalkan untuk memperolehi anak yang elok rupa parasnya dan Surah Muhammad diamalkan dengan harapan anak yang bakal lahir akan cerdik dan pandai serta mempunyai sifat terpuji.
Mengikut adat dan kepercayaan Melayu, barang-barang persiapan untuk menyambut kelahiran bayi seperti peralatan bayi, buaian, mandian dan pakaiannya tidak boleh disediakan selagi kandungan ibu belum mencukupi lima bulan. Ini kerana dikhuatiri sesuatu yang buruk akan menimpa bayi tersebut, seperti keguguran ataupun mengikut kepercayaan akan dicuri Orang Bunian.
Selain itu, perlakuan si ibu sepanjang tempoh mengandung akan turut mempengaruhi bayi apabila lahir kelak. Maka, orang tua-tua berpendapat bahawa ketika mengandung, si ibu perlulah sentiasa bermanis muka dan ringan tangan supaya anak yang bakal dilahirkan akan bersifat sedemikian setelah lahir.
Setelah genap sembilan bulan, kelahiran bayi akan disambut dalam suasana yang penuh kesyukuran dan kegembiraan oleh seisi keluarga. Selepas dibersihkan oleh bidan, sekiranya bayi tersebut lelaki, si bapa atau datuknya akan mengazankan di telinga kanannya, manakala bagi anak perempuan akan diiqamatkan di telinga kirinya. Ini adalah ritual yang pertama sekali dilakukan ketika menyambut kehadiran satu lagi insan di dalam dunia ini yang dilahirkan dalam adat Melayu. Kemudian, tali pusat akan dipotong bagi memisahkannya dari alam yang gelap di perut ibu ke alam baru yang menantinya. Menurut sesetengah kepercayaan, bayi dikatakan menangis ketika dilahirkan kerana terkejut melihat keadaan alam yang penuh dosa. Ada pula yang mengatakan bayi tersebut ditakut-takutkan oleh hantu syaitan, dan tidak kurang juga ada yang mengatakan bayi tersebut menangis kerana takut dengan beban yang bakal dipikulnya dalam kehidupan kelak.
Setelah selesai dimandikan, si bapa akan berperanan menanam uri bayi seperti upacara pengkebumian jenazah. Ini kerana uri dianggap sebagai saudara kembar dan teman bayi sewaktu di dalam perut ibu. Ia perlu ditanam dengan sempurna supaya tidak datang mengganggu bayi. Di antara pantang larang menanam uri ialah uri tidak boleh ditanam di luar rumah kerana dipercayai anak tersebut apabila dewasa akan sukar dikawal perlakuannya. Ini juga bagi mengelakkan berlakunya penyalahgunaan oleh pihak tertentu yang ingin menjalankan upacara perbomohan atau pemujaan.
Kesemua adat dan upacara menerima kehadiran orang baru ini termasuk dalam salah satu jenis ritual iaitu dinamakan Rites of Initiation.
Popularity: 2% [?]
Setelah kata persetujuan dicapai oleh keluarga di pihak lelaki, wakil dari pihak lelaki yang biasanya dipilih dari kalangan orang tua-tua akan diutuskan oleh ibu bapa lelaki tersebut untuk mewakili mereka meminang anak dara yang telah dipilih. Biasanya, ibu bapa kepada anak dara tersebut tidak akan memberi jawapan yang muktamad kepada pihak yang datang meminang kerana mengikut adat, mereka sepatutnya diberi tempoh untuk memberi jawapan atau dipanggil bertangguh. Ini kononnya kerana hendak berpakat dengan ahli-ahli keluarga dan waris yang rapat, walaupun sebenarnya mereka memang sudah bersedia untuk menerima pinangan itu. Sebenarnya, adat bertangguh ini mencerminkan budaya Melayu yang amat berhati-hati dalam menentukan jodoh dan menunjukkan kesopanan dalam setiap tingkahlaku. Sudah menjadi rutin dalam kehidupan seharian masyarakat Melayu untuk tidak tergopoh-gapah dalam mengendalikan apa sahaja dan adalah menjadi pegangan bahawa setiap hal yang dilaksanakan perlu dijalankan dengan rapi dan tersusun mengikut adat yang ditetapkan.
Setelah tamat tempoh yang diberikan, biasanya 2 hari, namun ada juga yang sampai seminggu, pihak perempuan akan menghantar rombongan yang dihadiri oleh orang tua-tua yang mewakili pihak mereka untuk memberikan jawapan. Sekiranya pinangan diterima, pada pertemuan itu mereka akan berbincang tentang segala syarat berkenaan mas kahwin dan hantaran perbelanjaan majlis perkahwinan. Tarikh yang sesuai juga akan dipilih untuk melangsungkan perkahwinan. Sekiranya perkahwinan itu agak lambat dijalankan, pihak lelaki biasanya akan Menghantar Tanda terlebih dahulu kepada pihak perempuan.
Konsep Menghantar Tanda adalah diertikan sebagai “putus cakap”. Ini bermaksud pinangan dari pihak lelaki sudah pun diterima oleh pihak perempuan. Oleh yang demikian, maka penghantaran tanda daripada lelaki kepada anak dara yang bakal dikahwininya akan dilakukan melalui upacara bertunang. Upacara ini membawa pengertian bahawa anak dara tersebut sudah pun dimiliki dan kini dipanggil tunangan orang. Tanda yang dihantar oleh lelaki tersebut mengikut adat lazimnya adalah sebentuk cincin sahaja, iaitu cincin berbatu intan atau berlian, besarnya mengikut citarasa dan kemampuan ibu bapa lelaki tersebut. Namun begitu, bagi masyarakat Melayu, selain cincin, beberapa barangan lain turut diberikan seperti sepasang kain dan selendang, selipar atau sepatu, kuih-muih, manisan, dan yang paling utama dan dianggap sakral, sirih junjung. Semua hantaran akan dihias dengan cantik dan menarik serta akan dibalas oleh pihak perempuan sebagai tanda setuju menerima pinangan. Jumlah hantaran yang dihantar oleh pihak lelaki akan dibuat dalam angka ganjil dan dibalas lebih oleh pihak perempuan, selalunya sebanyak dua dulang. Contohnya, jika pihak lelaki memberikan 7 hantaran dulang, biasanya pihak perempuan akan membalas 9 dulang. Hantaran dari pihak perempuan biasanya berupa sirih junjung, sepersalinan baju melayu, capal dan kuih-muih.
Sekiranya dalam tempoh menunggu diijabkabulkan, ikatan pertunangan diputuskan oleh pihak lelaki, maka cincin dan segala barang hantaran tidak boleh diminta semula dari pihak perempuan. Berbeza pula halnya jika ikatan pertunangan diputuskan oleh pihak perempuan. Jika ia diputuskan tanpa sebarang sebab yang dapat diterima umum, maka pihak perempuan hendaklah mengembalikan semula segala hantaran yang telah diberikan oleh pihak lelaki itu dalam nilai sekali ganda banyaknya atau harganya.
Selain dari adat pertunangan yang disebutkan di atas, terdapat 2 lagi cara pertunangan yang juga wujud dalam adat resam Melayu, iaitu :
• Pertunangan yang dilakukan oleh ibu bapa kedua-dua pihak sewaktu anak mereka masih kecil lagi, dan ini tidak memerlukan penghantaran tanda. Hal ini berlaku mungkin kerana ikatan persahabatan yang erat dan mesra di antara ibu bapa kedua belah pihak dan ikatan itu diharapkan dapat merapatkan lagi ikatan silaturrahim antara mereka. Pertunangan yang demikian biasanya dihormati dan dilangsungkan sehingga kedua-dua anak itu berkahwin.
• Pertunangan mengikut wasiat salah seorang daripada ibu bapa yang telah meninggal dunia di antara dua buah keluarga. Ini juga tidak memerlukan penghantaran tanda dan biasanya diakhiri dengan ikatan perkahwinan.
Popularity: 3% [?]
Mengikut adat resam, menghantar belanja biasanya dijalankan terlebih dahulu dan berasingan dengan upacara akad nikah, tetapi pada zaman sekarang, menghantar belanja selalu dijalankan bersama dengan akad nikah dengan tujuan menjimatkan masa dan perbelanjaan. Di antara barang-barang yang termasuk dalam kategori wajib bagi melengkapkan sesuatu hantaran adalah seperti berikut, dan hantaran tersebut akan turut sama diarak dengan mempelai sebelum bersanding.
• Wang mas kahwin dan belanja (ada yang menyerahkan wang mas kahwin tersebut terus ke tangan isteri selepas selesai upacara akad nikah) yang diletakkan di dalam dulang atau batil bertudung diperbuat daripada perak atau tembaga putih.
• Sebentuk cincin permata berbatu intan atau ber1ian yang diletakkan di dalam cembul atau kotak perak.
• 2 pasang kain dan sehelai baju dari jenis yang cukup baik dan berkualiti, dilipat di dalam talam perak atau tembaga putih bertudung.
• Beberapa jenis kuih juadah, yang setiap satunya diletak di dalam sebuah pinggan besar bertudung dan dihias beralaskan talam.
• Beberapa jenis buah-buahan yang segar disusun di dalam bekas atau talam ditudung.
• Tepak sirih atau puan perak atau tembaga putih yang diisi lengkap.
• Satu atau dua perecik atau perenjis air mawar dan dua kaki dian atan lilin.
Semua barang tersebut akan dibawa setiap satunya oleh seorang pemuda dan diarak daripada rumah mempelai itu ke rumah pengantin perempuan bersama-sama dengan mempelai yang sudah siap berpakaian lengkap Melayu asli atau pakaian haji iaitu berserban dan berjubah bagi memulakan upacara Majlis Akad Nikah. Mempelai dan rombongannya akan disambut oleh pihak pengantin perempuan dan mereka akan terus dibawa naik ke rumah. Semua barang hantaran akan diatur, biasanya di hadapan pelamin. Pelamin ialah suatu ruang yang telah disiapkan biasanya seminggu sebelum majlis perkahwinan berlangsung dan ia merupakan tempat di mana kedua-dua pengantin akan bersanding di hadapan semua tetamu.
Sebelum akad nikah dijalankan, wang belanja, sama ada dengan mas kahwinnya sekali atau tidak dan barang-barang hantaran, seperti cincin akan dihitung dan diperiksa oleh tuan kadi bersama dua orang yang dilantik sebagai saksinya bagi mewakili pihak perempuan. Sekiranya ia bukan majlis akad, bererti tuan kadi tidak hadir sama di majlis tersebut, wang dan barang-barang yang dihantar akan diterima oleh seorang wakil dari pihak perempuan beserta dua orang saksi yang dipilih dari kalangan tetamu yang hadir di majlis tersebut.
Setelah selesai adat penerimaan kesemua wang dan barang-barang tersebut, tepak sirih, talam bunga rampai dan perenjis air mawar akan ditinggalkan di ruang tamu, manakala barang-barang hantaran yang lain akan dibawa masuk ke dalam bilik pengantin. Mempelai kemudiannya akan diminta duduk di atas sebidang tikar sila khas yang dihias indah untuk upacara akad. Tuan kadi akan memulakan majlis dengan mendaftarkan nama mempelai itu terlebih dahulu, diikuti dengan menyatakan dan menyemak segala syarat-syarat yang dikehendaki dan akhir sekali membaca khutbah nikah dalam bahasa Arab. Setelah selesai khutbah nikah itu dibacakan, maka tuan kadi akan memanggil dua orang yang telah dipilih sebagai saksi di dalam buku daftar nikah untuk duduk berhampiran dengan mempelai. Tujuan saksi dipanggil adalah untk mendengar dan menyaksikan pengakuan lafaz nikah daripada tuan kadi kepada mempelai. Lafaz tersebut perlulah dibalas dalam satu nafas serentak dengan penyudah sebutan lafaz nikahnya apabila tangan mempelai itu digoncang oleh tuan kadi.
Tuan kadi akan memegang tangan kanan mempelai itu dengan tangan kanannya, atau lebih mudah lagi dikatakan berjabat tangan kanan, lalu dimulakan akad dengan melafazkan kata seperti berikut: “Hai polan bin polan, aku nikahkan dikau dengan polan binti polan, yang telah memperwakili ia akan daku dengan mas kahwin sebanyak $…. (tunai atau hutang) dan belanjanya sebanyak $….”. Sebaik sahaja perkatan yang akhir itu habis dilafazkan, tuan kadi akan menggoncang tangan mempelai tersebut dan dengan serta-merta pada saat tersebut mempelai dikehendaki menjawab dalam satu nafas dengan terang, jelas dan betul serta boleh didengar oleh tuan kadi dan kedua-dua saksi. Jawapan lafaznya adalah seperti berikut : “Aku terima nikahnya polan binti polan dengan mas kahwin sebanyak $…..(tunai/hutang)”. Sekiranya mempelai tersebut menjawab dengan lambat, teragak-agak atau tidak terang, maka tuan kadi akan mengulangi sekali atau beberapa kali lagi lafaz akad tersebut sehingga dia dan kedua-dua saksinya berpuas hati dengan jawapan mempelai itu.
Setelah selesai, doa akan dibacakan oleh tuan kadi. Mempelai kemudiannya akan bangun bersalam-salaman bermula dengan tuan kadi, kemudian bapa rnertuanya, dan akhir sekali dengan tetamu yang hadir sebelum diarak pulang ke rumahnya. Bunga rampai dan sirih pinang yang dibawa oleh mempelai akan dibahagikan kepada tetamu yang hadir selepas jamuan diadakan manakala bekas-bekas kuih dan juadah serta buah-buahan yang diterima dari pihak lelaki akan dibalas oleh pihak perempuan dengan balasan yang berpatutan dan akan dibawa pulang oleh pihak lelaki ke rumah mempelai. Setelah mempelai berarak pulang, jamuan akan diadakan di rumah pengantin perempuan. Biasanya di majlis akad nikah, kenduri secara besar-besaran tidak diadakan. Pihak pengantin perempuan hanya mengadakan jamuan kuih-muih atau nasi tetapi jenis dan bilangan lauk-pauknya tidaklah sebanyak lauk-pauk sewaktu kenduri bersanding. Ini kerana biasanya majlis akad tidak dihadiri oleh ramai tetamu luar, melainkan saudara-mara dan ahli keluarga.
Popularity: 1% [?]
Tentunya anda tidak mahu “love bite” menjadi bahan gurauan teman di pejabat dengan pelbagai gelaran, membuatkan anda seolah-olah fobia setiap kali pasangan anda mahu mencium anda terutama di leher. Takut digigit…! Ini ada cara dan petua untuk menghilangkan gigitan love bite.
1) Ambil sebutir panadol, hancurkan dengan sedikit air. Sapu pada tempat yg mempunyai bekas gigitan dan biarkan selama 10-15 minit atau sehingga ia kering. Kemudian bersihkan dgn air seperti biasa.
2) Jika masih kelihatan warna kemerah-merahan, sapukan sedikit cecair ubat pencuci mata (eyeMo) di bahagian tersebut. Biarkan utk seketika.
3)Sapukan beberapa ketul ais batu di leher anda sehingga kesan gigitan semakin hilang.
4) Jika cara ini tidak berhasil, cuba gunakan bawang putih pula. Ambil seulas bawang putih dan belah dua. kemudian gosokkan perlahan-lahan pd bahagian berkenaan sehingga pudar kesannya.
Popularity: 6% [?]
1. Bila si dia sibuk……..
Jangan pula kamu terhegeh-hegeh meminta si dia menjemput kamu di tempat kerja ataupun menemani kamu pergi membeli-belah.
2. Bila si dia ego…….
Jangan sesekali kamu mempersoalkan tentang keegoan bila sikap sebegini sedang menguasai dirinya. Lelaki amat payah utk mengakui dirinya ego sebaliknya berpendapat ianya ketegasan.
3. Bila si dia romantik……..
Ajaklah si dia bersiar-siar di tepi pantai ataupun makan malam di bawah cahaya lilin sambil mengenangi saat-saat manis pertemuan pertama dan jgn lupa selit sekali perancangan utk masa depan bersama.
4. Bila si dia panas baran……..
Jgn membuat sesuatu yg boleh menyemarakkan lagi perasaan marahnya. Cuba kamu berdiam diri dulu sampai kemarahan reda.
5. Bila si dia penat…….
Jgn mengadu perkara ataupun bercerita ttg hal yg remeh. Dalam saat sebegini si dia hanya perlu rehat yg secukupnya dan jgn memaksa dia membuat sesuatu yg boleh menambah kepenatan.
6. Bila si dia pentingkan diri sendiri………
Cuba berterus-terang dan meluahkan rasa tidak puas hati kamu tentang sikapnya itu. Kamu patut bersikap terbuka dan memintanya supaya mengimbangi pendapat kamu juga. Jgn lupa utk bertoleransi antara satu sama lain.
7. Bila si dia mengongkong…..
Kalau kamu memberontak, pasti akan dimarahinya. Tapi kalau menurut saja katanya takut menjejaskan diri sendiri. Utk itu, kamu perlu berkata padanya utk membiarkan kamu membuat keputusan sendiri asalkan tidak menjejas hubungan kamu berdua.
8. Bila si dia selamba…….
Cuba tarik perhatian si dia. Contohnya membuat sesuatu yg boleh menarik minatnya. Orang yg selamba ini selalunya ingin kita yg memulakan dahulu. Oleh sebab itu, kamu patut merancang sesuatu bagaimana utk menarik perhatiannya.
9. Bila si dia curang…..
Jgn tuduh tanpa usul periksa. Jika benar si dia curang, bersemuka dan tanya dengan si dia mengapa bersikap begitu. Tapi kalau si dia tetap dengan keputusannya, eloklah kamu sendiri yg berundur dulu sebelum makin parah kelukaan hati.
10. Bila si dia lurus bendul……
Memang kamu boleh mengambil kesempatan ke atas dirinya tetapi jgn sampai memperlekehkan setiap tindak tanduknya. Kamu patut menjadi perangsang padanya dan mengatakan yg si dia mampu membuat keputusan sendiri tanpa mengharapkan org lain sangat
Popularity: 1% [?]