Archive for 'Tips dan Nasihat'

Tembuni atau uri. Apa perlu dibuat?

Menurut amalan orang dulu, tembuni anak yang keluar sesudah kelahiran anak tersebut akan diambil dan dibersihkan. Tembuni itu kemudian akan dimasukkan ke dalam bekas dan ditanam. Amalan ini dilakukan dengan alasan bahawa tembuni itu adalah kembar anak tersebut atau merupakan sebahagian dari anggota anak yang baru lahir itu.

Ibubapa memang berhak mengambil tembuni itu dan menanamnya, tetapi dakwaan seperti di atas adalah bertentangan dengan Islam dan kepercayaan yang khurafat. Jika ibu-bapa tidak mengambil tembuni tersebut dan menyerahkannya kepada pihak hospital, perbuatan tersebut juga tidak menyalahi ajaran Islam.

Popularity: 1% [?]

Posted on 7 June '07 by , under Tips dan Nasihat, Tips Kelahiran. No Comments.

Adab Menyambut Kelahiran dalam Islam

Beberapa perkara telah disyariatkan oleh Islam ketika menyambut bayi diantaranya:

Disunatkan mengucapkan tahniah

Orang-orang Islam adalah digalakkan supaya bersegera mengucapkan tahniah kepada saudaranya atau sahabat-handainya yang baharu sahaja menerima cahaya mata. Amalan ini disuruh kerana menghibur saudaranya selain itu amalan ini dapat mengeratkan silaturrahim sesama Muslim.
Sekiranya seseorang itu tidak sempat untuk mengucapkan tahniah adalah digalakkan untuk mendoakan kesahteraan kepada saudaranya dan anak yang baharu dilahirkan oleh isterinya. Antara doanya ialah:

“ Semoga Allah memberkati kurnianNya, syukurilah atas pemberian ini, penuhilah keperluannya dan rezekikanlah masa hadapannya

Kemudian apabila doa ini diucapkan maka disunatkan pula kita menyahutnya dengan ucapan

 

“ mudah-mudahan engkau juga diberkati Allah serta dilimpahi keberkatan ke atas engkau.

Disunatkan azan dan Iqamah
Rasulullah SAW sabdanya yang bermaksud: Sesiapa yang memperolehi
cahata mata (anak) maka hendaklah diazankan di telinga kanan dan
diiqmahkan di telinga kiri, nescaya terlepaslah darinya angin tiupan
syaitan”

Melakukan azan dan iqamah ini mempunyai hikmah tertentu, selain dari usaha untuk memohon perlindung daripada gangguan syaitan, azan juga merupakan laungan dan seruan kepada Allah, kepada agamaNya dan beribadah kepadaNya. Dengan itu jika lakukan seruan ini akan mendahului seruan syaitan. Azan juga adalah seruan kepada fitrah manusia yang asal sebelum digoda oleh syaitan yang ingin mengalih haluan kepada jalan jalan yang terkutuk dan dilaknati oleh Allah.

Melakukan Tahnik atau membelah mulut
Tahnik ini dilakukan dengan meletakkan sedikit isi tamar di atas jari
telunjuk dan dimasukkan ke dalam mulut bayi serta dengan perlahan-
perlahan digerakkan jari itu ke kanan dan kiri mulut bayi. Ini dilakukan
sehingga isi buah tamar tadi menyentuh pada keseluruhan mulut bayi
berkenaan dan tamar tersebut akan masuk ke dalam rongga tekaknya. Jika
tidak ada tamar maka boleh digantikan dengan manisan lainnya seperti gula
dan sebagainya. Adalah lebih afdhal kalau tamar itu dikuyah oleh orang
alim atau orang soleh untuk mendapatkan keberkatannya. Dalam satu hadis
diriwayatkan oleh Al-Bukhari dari Abi Musa r.a. katanya: “ Telah
dikurnikan kepadaku seorang anak, aku membawanya menemui baginda
Rasulullah s.a.w. baginda menamakannya Ibrahim, lalu baginda
mentahnikkannya dengan tamar dan mendoakan keberkatan untuknya,
kemudian baginda menyerahkan kembali anak itu kepadaku”
amalan tahnik ini adalah untuk menguatkan anggota mulut bayi supaya
lebih mampu untuk menghisap susu ibunya.

Mencukur rambut
Ini dilakukan sebaik-baiknya pada hari ketujuh kelahiranya, kemudian rambut itu ditimbang seberat emas atau perak dan disedekahkan pada fakir miskin, jika tidak mampu maka ditukarkan atas kadar wang atau sebagainya. Amalan bercukur ini mengandungi hikmah yang tertentu iaitu: dari sudut kesihatan, ia boleh menguatkan tenaga pertumbuhannya, menghilangkan selaput kulit kepala (iaitu sejenis cecair beku yang meliputi kulit kepala) dan juga dapat memberikan daya kekuatan dan ketajaman pada penglihatan mata, bau dan pendengaran. Dari sudut kemasyarakatan bercukur mengalakkan umatnya bersedekah disamping menunjukkan kesyukuran kepada Allah di atas kurniaan-Nya. Walaupun disunatkan bercukur bagi orang Islam tetapi dilarang daripada melakukan Qaza’ iatu mencukur sebahagian kepala kanak-kanak dan meninggalkan sebahagian yang lain. Larangan ini mempunyai hikmahnya yang tersendiri, ini untuk menunjukkkan sifat keadilan Allah s.w.t dan RasulNya s.a.w. di mana manusia diperintahkan supaya berlaku adil walaupun terhadap dirinya sendiri. Larangan mencukur sebahagian kepala dan meninggalkan sebahagian kepala dan meninggalkan sebahagian yang lain merupakan suatu perbuatan yang zalim kepada kepala kerana hal sedemikian menyebabkan sebahagian kepala akan ditutupi dan sebahagian yang lain terdedah tanpa rambut.

Berkhatan
berkhatan ialah memotong selaput kulit yang menutupi kepala zakar lelaki atau memotong sedikit hujung daging yang tumbuh dalam faraj perempuan. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud: “ kebersihan itu lima perkara: berkhatan, mencukur bulu ari-ari, menggunting misai, memotong kuku dan mencabut bulu ketiak” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hukum berkhatan: terdapat perbezaan pendapat,
a) menurut Imam Abu Hanifah dan Imam Hasan al-Basri bahawa berkhatan itu sunat hukumnya.
b) Manakala menurut Imam Syafie, Imam Malik dan setengahnya yang lain mengatakan khatan hukumnya adalah wajib. Mereka mengeluarkan hukum berdasarkan kepada hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“ sesiapa yang menganut Islam, hendaklah ia berkhatan sekalipun ia dari golongan dewasa”

Manakala waktu berkhatan pula, kebanyakan ulama berpendapat bahawa berkhatan itu mula diwajibkan bilamana umur kanak-kanak hampir usia baligh. Ini kerana memudahkan bagi mereka menunaikan tanggungjawab hukum syarak yang ditetapkan ke atas mereka apabila baligh kelak. Tetapi berkhatan adalah lebih afdhal dilakukan pada hari pertama dilahirkan. Ini bersesuaian dengan hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “ Baginda Rasulullah s.a.w melaksanakan aqiqah untuk Hasan dan Husin serta mengkhatankan keduanya dalam tempuh tujuh hari ( dari hari kelahiran)”.
(Riwayat Al-Baihaqi).

Manamakan anak

Islam mengalakkan umatnya memilih nama yang baik untuk dinamakan kepada anak-anak kita sebagai tanda pengenalan dan perbezaan antara orang Islam dan Orang yang bukan Islam. Nama yang baik juga sangat mustahak kerana panggilan yang sering dipanggil adalah doa yang dapat mempergaruhi keperibadian anak tersebut.

Ditukil dari buku Panduan Menyambut Kelahiran Bayi
Oleh Ja’far Al- Mathari Bin Abdul Rahman
Jasmin Enterprise

Popularity: 2% [?]

Posted on 7 June '07 by , under Tips dan Nasihat, Tips Kahwin, Tips Kelahiran. No Comments.

Panduan Mencari Pakaian Pengantin Idaman

Tugas praperkahwinan yang tidak sabar dinantikan oleh bakal pengantin perempuan ialah memilih baju kahwin. Barangkali sesetengah telah membayang baju kahwin yang akan mereka gayakan sebaik sahaja si buah hati melamar. Cuma kemungkinan dek kerana dilambung ghairah, anda tidak mempertimbangkan samada khayalan itu praktikal atau tidak?

Jika anda tidak tahu di mana hendak bermula, dapatkan timbunan ilham daripada panduan yang kami kumpulkan sebagai panduan bagi memastikan saat bahagia dilalui dengan simbahan keseronokan, penuh riang dan gembira.

Kumpulkan majalah perkahwinan yang menyorot isu perkahwinan untuk menimbulkan ilham dan mencari aliran potongan semasa yang sesuai serta jangan lupa senaraikan harga-harganya.

Kini banyak majalah mengeluarkan senarai pakej perkahwinan dari segi pakaian, dandanan dan hotel. Jangan hanya melakukan urusan melaui telefon dan membuat keputusan sebelum temu janji. Dicadangkan anda luangkan masa beberapa hari berjalan-jalan di pusat membeli belah, masuk kedai-kedai yang berkaitan, melihat-lihat dan bertanya lebih lanjut.

Jangan lupa mengacukan sebanyak mungkin potongan yang ada. Kebanyakan baju kahwin tidak nampak cantik di gantungan tetapi apabila dipakai cantik. Ketika mengacu jangan lupa lihat sisi dan belakang.

Melalui cara di atas anda dapat mengagak anggaran peruntukan yang anda mampu. Pastikan anda buat anggaran setepat mungkin dan tentukan anda mengikut anggaran yang ditentukan.

Berikan waktu yang panjang sebelum memutuskan potongan baju kahwin. Adalah bijak bermula dengan potongan asas, sama ada anda suka kurung Johor, kebaya longgar atau kurung moden. Dan sekiranya anda bercadang memilih gaun, anda suka potongan tradisional, lurus, keruk ‘empire’ atau keruk ‘princess’?

Kemudian tanyakan diri sama ada mahukan tathan labuci, manik atau sulaman?

Justeru itu, jangan tempah di saat-saat akhir. Kebanyakan kedai mengharapkan tempahan dilakukan tiga empat bulan sebelum hari perkahwinan.

Fikirkan samada anda mahu perkahwinan anda bertema. Misalnya konsep, warna, kain & gaya. Langkah ini secara tidak langsung akan memudahkan anda membuat pilihan pakaian.

Apapun pilihan anda, pastikan ianya praktikal.

Apabila anda menempah, anda ada dua pilihan. Sama ada menggunakan kain sendiri atau memilih kain di butik tempat menempah, kecuali anda menempah di kedai tukang jahit biasa.

Kain baju kahwin tidak murah. Samada anda memilih renda Peranchis atau Swiss, sutera Itali atau China, organza atau organdy, tanyakan pada tukang jahit atau pereka anda berapa meter yang diperlukan untuk membuat baju anda.

Jika peruntukan terhad, pertimbangkan menyewa baju kahwin. Jika tidak beli baju kahwin siap. Tetapi haruslah diingatkan bahawa baju kahwin siap tidaklah semurah mana dan kadang-kala tidaklah secantik mana.

Sesetengah butik ada membuat baju yang dikhususkan untuk promosi. Baju ini digunakan untuk kegunaan peragaan dan penggambaran. Cuba tawar harganya.

Dalam kegawatan ekonomi, banyak butik menawarkan pakej menarik . Dapatkan tawaran yang bagus.

Jika anda tidak bercadang menyimpan baju kahwin anda (tak kira sama ada gaun, kurung atau kebaya) cuba tanya pereka atau butik anda sama ada mereka boleh tolong jualkannya sebagai pakaian terpakai selepas anda pakai. Jika tidak, anda boleh jualkan kepada kedai-kedai terpakai. Secara ini, ia boleh membantu kewangan anda. Tetapi pastikan baju anda dalam keadaan baik.

Tonjolkan segala kelebihan anda, maksudnya paras rupa seperti ketinggian, pinggang ramping dan buah dad cantik. Pengantin tinggi tampak lampai dengan potongan langsing manakala pengantin yang rendah sepatutnya elakkan gaun kembang dan train, pilih perincian halus dan potongan lurus.

Kalau anda memakai gaun, ketahuilah gaun bentuk V di pinggang membias tinggi. Sembunyikan lengan yang besar dengan berlengan panjang. Elakkan baju bercengkek bagi yang berpinggang tinggi.

Sentiasa bawa seseorang (dua paling bagus) apabila anda pergi menempah dan mengacu baju kahwin. Dengan ditemani mereka, anda boleh mendengar komen dan mendengar pandangan mereka tatkala meyedang baju.

Minta kerjasama pereka untuk mencuba bersama layah (veil) supaya anda dapat gambaran rupa keseluruhan baju kahwin anda. Umpamanya layah yang pendek mungkin boleh mengubah baju biasa kepada sesuatu yang biasa kepada sesuatu yang istimewa manakal layah labuh kemungkinan tidak sesuai.

Pilih pakaian pengiring anda sepadan dengan perincian atau baju kahwin anda. Sekiranya anda mempunyai konsep atau tema, pastikan ianya selaras dengan pengiring anda.

Fikirkan bentuk kasut. Baik bertumit tinggi atau rendah, ia akan memberi kesan berlainan kepada keseluruhan penampilan baju kahwin anda. Begitu juga warna dan jenis buatannya.

Perlengkapkan gaya dengan perhiasan kemas. Subang, rantai, keronsang, butang baju kurung, gelang tangan dan gelang kaki boleh menaikkan seri penampilan. Bagaimanapuun ia akan menambah perbelanjaan. Sekiranya anda tidak mampu membeli, pertimbangkan meminjam daripada adik-beradik, saudara-mara ataupun teman rapat. Atau sewa daripada mak andam atau butik anda.

Selepas selesai majlis perkahwinan, pastikan baju dihantar untuk cucian kering dan simpan ia dengan baik dalam kotak atau gantungkan ia di dalam sarung baju.

Popularity: 7% [?]

Posted on 5 June '07 by , under Tips dan Nasihat, Tips Sebelum Kahwin. No Comments.

Menuju Alam Perkahwinan

Masalah memilih bakal pasangan hidup, perlu diberi perhatian diawal perkenalan dengan pasangan masing masing. Islam sangat bersifat selektif. Sebab itu disyarakkan diadakan fitrah pertunangan supaya terdapat jangka masa yang cukup untuk mengenali pasangan. Mengenali pasangan bukanlah pada dasarnya keluar berjalan -jalan dating dan berborak tanpa batasan. Konsep lima `K‘ diperkenalkan oleh Rasulullah s.a.w. iaitu “Kenal“, “Kelas“, “Kufu“, “Kasih” dan akhir sekali “Kahwin“.

KENAL
Kita disuruh kenal/ta’ruf pasangan terlebih dahulu bukanlah dalam istilah luaran @ fizikal semata-mata. Erti kenal termasuk hati budi dan pegangan hidupnya. Untuk kenal orangnya, hati budinya, pergilah disuruh dan dicari orang yang boleh dipercayai agamanya merisik corak hidupnya dan perangainya. Terdapat kisah seorang sahabat Nabi, Omar r.a. di mana beliau bertanya kepada seorang lelaki apabila melantik seorang saksi.

“Apakah kamu kenal lelaki ini?” tanya Omar
“Ya, saya kenal,” jawab lelaki tersebut. Omar bertanya lagi…
“Pernahkah kamu berjalan dengan saksi ini dalam musafir?”

Lelaki itu menjawab tidak pernah, Omar bertanya lagi “Pernahkah kamu bermu’amalah supaya kamu tahu setakat mana waraknya dia? Pernahkah kamu menjadi jirannya supaya kamu tahu kemana perginya dan setakat mana pergaulan, siapa keluarga dan kawan-kawannya” Itulah yang di namakan takruf sebenarnya dalam Islam supaya kita dapat tahu apakah pasangan itu sesuai dengan kita atau sebaliknya. Risik merisik latarbelakang pasangan perlu dibuat untuk mengetahui sejauh manakah pergaulan dan kewarakannya.. Pada dasarnya, kita boleh kenal melalui dari corak kelakuan sahabat-sahabat yang akrab dengannya….
Adalah berdosa besar jika antara kedua-dua belah pihak BERBOHONG. Apabila sudah saling mengenali, TOLAK-ANSUR dapat dibuat dalam apa juga perkara.

KELAS
Kita kenal tetapi kita kena bersifat pemilih supaya terjamin akhlak dan agamanya. Kelas yang dimaksudkan bukan hanya merujuk kepada golongan yang berkelulusan agama, berjanggut dan berserban sahaja. Kelas yang baik adalah golongan yang mengamalkan ajaran agama kerana golongan ini akan menghormati pertalian perkahwinan. Mereka yang ada kefahaman dan penghayatan Islam akan memegang perkara asas dalam Islam, sentiasa ‘alert’, sanggup MENERIMA TEGURAN dan MEMBERI TEGURAN dan saling bersifat ‘MEMBINA’ untuk menjaga akhlak dalam Islam.

KUFU
Kufu amat diberatkan, dari segi pendirian, pemahaman agama dan keturunan juga perlu diseimbang. Jika terdapat keturunan golongan atasan, wajar dia mencari keturunan yang sama supaya tidak wujud jurang yang dalam. Begitu juga daripada segi harta , ulama yang bernama Mawardi menjelaskan ia perlu di titikberatkan kerana seseorang yang datang dari keluarga miskin, susah untuk seiring dengan keturunan kaya. Bahkan ulama yang ke belakang ini juga mementingkan tahap umur. Memang betul, soal jarak umur diantara Rasulullah 25 dan Siti Khadijah 40 tidak wujud kerana Rasulullah , Siti Khadijah dan Aisyah mempunyai akhlak yang sempurna. Dan tidak seperti kita yang serba cetek. Malah rupa dan fizikal wanita yang cepat rosak boleh diselaraskan kesesuaian dengan suaminya bila sudah lama berumahtangga.

KASIH
Kasih bukan bermakna berkasih atau bercinta tetapi yang sebenarnya yang ditekankan ialah di antara kedua-dua belah pihak lelaki dan wanita itu perlu wujud unsur-unsur kasih sebelum berkahwin. Merujuk kepada sebuah hadis:-

“Tidak ada yang lebih baik bagi kedua pasangan yang berkasih ini melainkan mengakhirinya dengan
perkahwinan”
Andaikata lelaki itu berkenan kepada seorang wanita, perlulah lihat wanita itu tersebut tetapi mengikut syariat
Islam.

Rasulullah memberitahu:-

“Pergi lihat dahulu wanita itu, kalau kalau dengan melihat itu boleh menjamin kasih sayang di antara kamu”

Kalau kawan tolong canang kata begitu dan begini amat susah juga.. Sememangnya terdapat ” Orang orang yang benar-benar redha dengan pasangan yang di tentukan oleh Allah tetapi pokok pangkal banyak terletak pada HATI kaum lelaki” Kalau tak berkenan, jangan di paksa paksa hati sebab ia bukan satu permainan pondok pondok. Kasih yang dipupuk biarlah kerana Allah kerana ia menjamin kebahagian rumahtangga. Hadis Nabi ada menyatakan:-

“Barangsiapa yang berkawin dengan wanita kerana KEDUDUKAN ia hanya mendapat kehancuran sebagai balasan, Barangsiapa yang berkawin dengan wanita kerana KEKAYAAN, Allah menjanjikan kemiskinan. Barangsiapa yang menikahi kerana KETURUNAN, Allah akan menghina keturunannya dan Barang siapa yang berkawin dengan NIAT BAIK dan kerana ALLAH demi menutup pandangan dan kemaluannya atau menyambung silahturrahim, Allah akan memberkati kedua duanya.”

Keberkatan memang dititik beratkan. Apabila nawaitu/niat kita dipasakkan dengan betul. InsyaAllah perkahwinan akan diberkati dan dilindungi. Setiap gerak geri dan tindak tanduk mendapat pengawasan dan hidayah daripada Allah dan tidak timbul perselisihan faham.

REDHA
Redha terhadap pasangan masing masing adalah penting. Rasulullah sering bertanya,
Apakah kamu redha dengan pasangan ini? Kita berkahwin dengan manusia yang mempunyai unsur unsur
kebaikan dan keburukan. Tidak ada manusia yang sempurna dan apabila kita REDHA dengan pasangan
bermakna kita redha dengan KEKURANGAN mereka.

“Apa yang dikatakan baik bukan sekadar mengikut telunjuk isteri @ suami. Baik yang di maksudkan sanggup mengaku kekurangan diri dan mencari jalan mengatasinya” Istilah kufu banyak di tekankan dalam Surah AnNur :ayat 26:-

“Seorang lelaki yang tidak baik itu sesuai dengan wanita yang tidak baik dan seorang lelaki yang baik itu adalah untuk wanita yang baik”

Istilah kufu sangat di tekankan kerana jika isteri dianggap kelas kedua, segala teguran daripada pasangan tidak boleh diterima. Jika isteri mempunyai jawatan dan pangkat besar serta tidak ada kufu, dia tidak dapat menerima kepimpinan daripada suami. Tetapi kalau ada persamaan pendirian, sikap tolak ansur dapat diwujudkan. Sebaliknya perbezaan pendapat boleh menyebabkan hubungan semakin renggang. Misalnya seorang suami yang rapuh pegangan agama tidak mahu memantapkannya selepas berkahwin, Sikap kurang mahu ini akan menjadi tolak bengit sekiranya pula si isteri sememangnya seorang yang suka menghayati Islam dan cuba memantapkannya dari masa ke semasa ….Begitu juga sebaliknya masalah berlaku Kata sebahagian lelaki, dah dapat perempuan yang berkenan di hati nanti “AKU UBAHLAH PERANGAINYA”. Tetapi anda perlu ingat, bukan semua perempuan mempunyai hati yang lembut dan mudah di bentuk. Keimanan dan kekuatan sikap merealisasikan Islam perlu ada pada lelaki. Perempuan yang beriman mesti mencari lelaki yang lebih kuat imannya daripadanya kerana lelakilah yang menjadi ketua keluarga….

Popularity: 4% [?]

Posted on 5 June '07 by , under Tips dan Nasihat, Tips dan Renungan, Tips Kahwin, Tips Sebelum Kahwin. No Comments.

Perkahwinan adalah Satu Ibadah

Dari sudut Islam, perkahwinan adalah satu ibadah. Kerana ia ibadah yang disyariatkan oleh Islam, maka ia harus dilaksanakan dengan sempurna dan mengikut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.

Pelaksanaan secara sempurna adalah satu tuntutan agama. Oleh itu ulamak telah menulis dan menjelaskan dengan panjang lebar dalam hal ini dalam kaya-karya mereka yang terdapat dalam pasaran.

Perkahwinan adalah merupakan satu ibadah suci yang termaktub dalam al-Quran dan hadith-hadith Nabi. Dalam perkahwinan itu sendiri mengandungi banyak hikmah dan keistimewaan. Maka sesiapa yang mampu melaksanakannya dengan sempurna, maka ia dan pasangannya akan mendapat ganjaran.

Dalam surah ar-Rum ayat 21, Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Dan di antara tanda-tanda kebesaran Allah ialah Dia telah menciptakan untuk mu isteri-isteri supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya; dan dijadikannya antara kamu rasa kasih sayang.”

Maka jelas sekali bahawa tujuan perkahwinan itu bukan untuk seronok-seronok atau sekadar melepaskan rangsangan hawa nafsu, tetapi ialah untuk melahirkan pertalian kasih sayang bagi kedua pasangan. Kasih sayang di sini ialah kasih sayang yang sejati dan abadi, dari usia muda sampai ke usia tuanya.

Dari sudut syara’, hukum berkahwin itu terbagi kepada empat kategori: wajib, sunat, haram dan mubah. Setiap kategori ada sebab-sebab dan asas-asasnya tersendiri. Ia jadi wajib, kalau sesaorang itu sudah mampu (fizikal, material dan spiritual), dan takut terjerumus kelembah perzinaan kalau ia tidak berkahwin. Ia jadi sunat, kalau sesaorang itu mampu dan dalam waktu yang sama ia mempu menahan diri dari melakukan perzinaan, maka ketika itu baginya adalah lebih baik berkahwin dari membujang. Ia menjadi haram, kalau tujuan berkahwin itu semata-mata untuk balas dendam atau untuk menyakiti orang lain. dan ia menjadi mubah, kalau sesaorang itu tidak berhalangan untuk berkahwin sedangkan hawa nasfunya tidak kritikal untuk melakukan sesuatu yang dilarang oleh agama.

Kalau kedua-dua pasangan suami-isteri itu dapat memahami konsep ibadah dalam perkahwinan, maka sudah tentu masalah rumahtangga tidak timbul. Kerana setiap pasangan itu sentiasa berusaha memenuhi kehendak-kehendak dan tuntutan-tuntutan ibadah. Di antara tuntutan ibadah dalam perkahwinan ialah kesetiaan, iltizam, tanggungjawab, kasih sayang, hormat menghormati, bela membela, amanah, jujur, ikhlas dan sebagainya.

Dalam sebuah hadith, Baginda Rasulallah pernah bersabda yang bermaksud:

“Bahawa dua rekaat solat orang yang beristeri adalah lebih baik daripada tujuh puluh rekaat solat orang bujang”.

Dengan kata lain, beristeri itu mendapat ganjaran dan pahala yang berlipat ganda berbanding dengan ibadah seorang bujang. Hikmahnya jelas sekali, ketika melakukan ibadah seorang yang sudah beristeri adalah lebih mantap dan tenang serta lebih khusuk. Atas asas inilah maka ibadah orang beristeri itu lebih baik dan lebih rewarding.

Dunia perkahwinan adalah dunia tanggungjawab dan iltizam yang berterusan, dari sebelum mendapat anak kepada sampai mendapat cucu-cicit. Di mana setiap pasangan diwajibkan menunaikan tugas masing-masing sehingga melahirkan rumahtangga yang aman damai dan bahagia.

Dalam sebuah hadith lain Baginda Rasulallah bersabda yang bermaksud:

“Apabila seorang perempuan menunaikan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, memelihara kehormatan, serta menutup aurat dan taat kepada suami, maka berhaklah ia masuk ke syurga dari mana-mana pintu syurga yang disukainya.”

Dalam surah An-Nur ayat 26, Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya lelaki-lelaki yang baik adalah untuk perempuan baik; perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik. Sebaliknya, lelaki yang jahat adalah untuk perempuan-perempuan yang jahat: perempuan-perempuan yang jahat untuk lelaki-lelaki yang jahat pula.”

Ringkasnya, kalau satu-satu pasangan itu berjaya memahami dan mengamalkan konsep ibadah dalam perkahwinan, maka kebahagiaan dan ketenteraman hidup itu boleh dicapai. Kerana konsep ibadah itu ialah konsep hidup bersih. Bersih lahir dan bersih batin. Tidak ada ibadah yang berasaskan kekotoran hati atau hasad. Inilah keindahan Islam bagi kehidupan manusia berumahtangga, berkeluarga, dan bermasyarakat.

Popularity: 2% [?]

Posted on 5 June '07 by , under Tips dan Nasihat, Tips dan Renungan. No Comments.

Copy Protected by Owners KlikProtect.