Majlis 'Badak-Badak Mandi' adalah pembukaan adat istiadat perkahwinan orang-orang melayu diBrunei. Biasanya ia diadakan dua minggu(zaman bulu) sebelum majlis bersanding. Istiadat 'Badak-Badak Mandi' ini hanyalah dihadiri oleh keluarga yang terdekat sahaja. Bakal pengantin akan ditepung tawar dengan menggunakan bedak yang diperbuat daripada tepung beras dan ditambah dengan bunga melor untuk memberi aroma yang segar harum.
Selesai menepung tawar bakal pengantin itu, istiadat 'Badak-Badak Mandi' pun dimulakan. Bakal pengantin akan dilulur dengan bedak tradisional dari muka hingga ke hujung kaki. Kemudian akan disiram dengan air yang dicampur dengan langir dan limau nipis. Dikelilingi oleh tujuh orang kanak-kanak yang memakai selindang yang berlainan warna setiap seorang dengan memeggang sebatang lilin kecil yang dinyalakan sehingga majlis bersiram selesai.
Apabila istiadat bersiram selesai, adat mengurung pengantin akan dimulakan. Bakal pengantin akan dijaga luar dan dalam, rohani dan jasmani oleh seorang 'Pengangun'(mak andam) didalam sebuah bilik khas yang di gelar 'Bilik Beangun'(bilik berandam). Bakal pengantin tidak akan disuruh keluar rumah sepanjang perintah berkurung itu dan disyaratkan memakai pakaian bewarna putih. Muka dan badan tak tanggal dengan bedak sejuk. Makan dan minum bakal pengantin akan dihidangkan sendiri oleh 'Pengangun'. Di sinilah peranan 'Pengangun' nampak tersangat penting. Dialah orang yang bertanggung jawab untuk mengajar hal ehwal suami-isteri kepada si bakal pengatin itu. Dan menjaga kesihatan bakal pengantin supaya nampak berseri sehingga naik ke jinjang pelamin nanti.
Istiadat seterusnya 'Malam Babadak'(malam berbedak). Pengantin perempuan akan digendong dari bilik 'Beangun'(berandam) hingga sampai kepelaminan dan didudukan diatas sehelai tikar khas(biasanya kain baldu bertenun benang emas) berbentuk segi empat tepat. Empat batang dian bewarna kuning diletakan diempat penjuru tikar tersebut. Bedak tradisional(serupa dengan bedak 'Badak-Badak Mandi' diatas tapi diwarnakan dengan tujuh warna dan disimpan kedalam tujuh mangkok khas). Para tetamu akan 'menculiki'(menepung tawar) dengan bedak tujuh warna itu ketangan pengantin perempuan dengan iringan zikir merhaban. Manakala bagi bakal pengantin lelaki pula akan berjalan terus kepelamin diringi oleh 'Pengangun' untuk majlis malam berbedak tersebutLabels: Tips dan Panduan, Tips Kahwin |